Tuesday, February 25, 2014

Ambil gambar

Bismillaah

Masa hari penerangan tadika, ada persembahan anak-anak taska. Diorang menyanyi nasyid. Masa semua anak-anak dah beratur atas pentas, tiba-tiba hampir kesemua ibu bapa berbondong-bondong berdiri dan ke hadapan pentas. Cemas seketika....

Ingatkan ada apa-apa yang berlaku, rupa-rupanya masing-masing keluarkan segala macam handphone dari screen kecil sampai yang besar untuk ambil gambar anak masing-masing. Persembahan dimulakan lewat beberapa minit kemudian, setelah ibu bapa selesai dan berpuas hati dengan gambar yang diambil. kelihatan anak-anak tersenyum gembira dan ada yang melambai-lambai tangan pada ibu bapa mereka. Tidak kurang juga yang tersipu-sipu malu di atas pentas.

Kami rasa agak canggung sebab duduk sahaja di kerusi melihat suasana sekeliling. Tidak ada kamera atau telefon yang dikeluarkan untuk merakamkan Maryam di atas pentas. Cuma abah teruja melihat deretan ibu bapa dengan kamera telefon masing-masing lalu mengambil gambar pemandangan itu, untuk renungan kami.
Semasa anak-anak mula bernyanyi, ramai yang sudah sibuk dengan anak-anak kecil yang dibawa bersama, berbual dengan rakan di sebelah, atau melayan diri dengan jamuan enak yang dihidang di belakang dewan. Hanya segelintir yang menghayati nasyid mengenai Nabi Nuh.

Nabi Nuh, nabi Allah
Ratusan tahun usianya
Berdakwah tak pernah lelah
Walau sedikit pengikutnya

Sampai satu saat tiba,
Banjir di mana-mana
Tenggelam semua yang ada

Nabi Nuh dan pengikutnya
semua naik bahtera
selamat dari bahaya
Kerana iman pada yang kuasa

Ada pengajaran dari sejarah manusia di situ. Ketabahan, kesabaran, dan keimanan tinggi para anbiya'. Usia ratusan tahun disibukkan dengan ibadah. Panjang usianya dalam keberkatan. Hanya iman yang boleh selamatkan manusia di dunia dan akhirat.

Hmmm...lalu, apa gunanya gambar ratusan keping dalam memori telefon bimbit kalau itu hanya memori kaku. Kita lebih disibukkan untuk cepat-cepat merakam pengalaman itu secara instant ke dalam memori kamera telefon sehingga kadang-kadang terlepas dari menghayati sesuatu pengalaman itu secara real time and live. menghargai dan menghayati dengan perasaan, menatap wajah anak-anak lebih berbanding menatap kamera dan telefon.
Kalau ada masa, barulah ada yang akan ambil masa tengok balik gambar-gambar tu. kalau tidak, terus diam dan tersimpan lah memori itu tanpa interaksi dengan hati dan perasaan kita sendiri.

No comments: