Friday, March 07, 2008

bismillah

semalam mendengar satu berita pemergian seorang kawan abu Adam. Walaupun ibu hanya mengenali arwah dari nama dan rupa, tetapi tetap terasa perginya seorang hamba Allah. Ia mengingatkan bahawa usia bukan pengukur bila kita akan meninggalkan dunia. Dan sihatnya hari ini juga tidak bermakna kita akan dapat hidup setahun lagi.

Kehidupan ini kompleks dengan pelbagai macam pemboleh ubah dan pemalar. Semasa menatap wajah Hajar dan Adam, Alhamdulillah, ibu merasa bertuah masih dapat mendakap dan menyayangi mereka. Hari ini mereka masih lagi bayi dan kanak-kanak yang sentiasa ingin bersama ibu dan abah. InshaAllah beberapa tahun lagi, mereka akan jadi orang dewasa yang mempunyai kehidupan sendiri, sudah tidak sering bersama ibu dan abah lagi.

Ibu ingin merasai dan menghargai setiap masa yang kami lalui bersama dalam perkongsian hidup yang tidak lama ini. Atas kesedaran bahawa hidup dan mati ini hanya Allah yang Satu yang Maha Mengetahui bila, di mana, bagaimana, dan berapa lama.

Alhamdulillah, kerana Allah telah mengutus peringatan tentang maut kepada kita melalui pemergian hamba-hambaNya. Semoga kita sentiasa mengingati tentang kematian kita yang pasti untuk kita lebih menghargai sebuah kehidupan yang Allah berikan.

No comments: